Apr 13, 2012

Penduduk masih trauma

JAKARTA: Kegiatan harian penduduk Aceh yang dilanda panik kerana gempa bumi kuat kelmarin masih belum pulih.
Sebahagian besar pejabat kosong semalam. Begitu juga dengan sekolah dan pusat beli-belah. Belum ada yang dibuka. Malah, keadaan di Banda Aceh lengang dan sepi.

“Banda Aceh pagi ini (semalam) masih hening. Jalan raya amat sepi. Kawasan pusat bandar di Simpang Lima yang biasanya sesak, juga lengang,” kata penduduk, Iriansyah Putra.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak mengumumkan penutupan sekolah dan juga pejabat.

“Tetapi pagi ini, tidak kelihatan sebarang kegiatan seperti hari-hari biasanya. Mungkin masih trauma,” katanya.

Iriansyah berkata, sebahagian besar penduduk yang mencari perlindungan di kawasan tinggi sudah kembali ke rumah masing-masing. Mereka berbuat demikian sejak tengah malam selepas dimaklumkan amaran tsunami ditarik balik. Pelajar Universiti Syah Kuala Banda Aceh itu berkata, cuaca di Aceh malam kelmarin sangat sejuk. Langit juga mendung tetapi tidak hujan.
Sementara itu, lima orang disahkan mati dan seorang kanak-kanak cedera parah berikutan gempa bumi itu.

Agensi Pengurusan Bencana Indonesia berkata semalam, sekurang-kurangnya dua orang mati akibat serangan sakit jantung, tiga lagi dipercayai kerana terkejut.
Seorang kanak-kanak cedera parah selepas terjatuh dari pokok ketika gempa, kata jurucakap agensi, Sutopo Purwo Nugroho, tanpa memberi butir lanjut.

Gempa berukuran 8.7 magnitud itu menyebabkan penduduk Aceh bertempiaran melarikan diri ke tempat tinggi. Gegaran itu dapat di rasakan di beberapa negara Asia Tenggara lain, termasuk Malaysia dan sejauh selatan India. Ia disusuli dengan beberapa gempa susulan. Bagaimanapun, tidak ada tsunami yang menyusuli gempa itu yang berlaku berhampiran kawasan gempa bumi 2004. - Agensi

0 comments:

Post a Comment