Apr 12, 2012

kembali normal

KUALA LUMPUR: Aktiviti harian bagi kebanyakan pelajar Malaysia di Aceh kembali seperti sedia kala selepas keadaan di bandar itu tidak terjejas ekoran kejadian gempa bumi di Utara Sumatera, Indonesia berukuran 8.9 skala Richter, kelmarin.
Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Aceh (PKPMI-CA) Muhammad Rafidi Othman Jaludin berkata, semua pelajar sudah kembali ke kediaman masing-masing bermula semalam selepas keadaan dilaporkan selamat. “Kebanyakan pelajar dapat mengikuti kelas seperti biasa hari ini (semalam), bagaimanapun hanya sebilangan kecil saja pelajar yang tidak ke kelas berikutan dibatalkan pensyarah.

“Syukur, semuanya sudah selamat dan tiada pelajar yang mengalami kecederaan akibat kejadian berkenaan. Namun, kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga malah semua pelajar sudah diingatkan sentiasa membawa dokumen penting seperti pasport dan visa bersama bagi memudahkan urusan jika kejadian sama berulang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Mengimbas kembali kejadian kelmarin, Rafidi yang menuntut di Institut Agama Islam Negeri Ar Raniry berkata, pelajar Malaysia kebanyakannya berkumpul di Masjid Unsyiah dan di kawasan Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda kerana dua lokasi itu berada pada kedudukan agak tinggi daripada paras laut.
“Dalam keadaan bekalan elektrik terputus di semua tempat dan kebanyakan penduduk terpaksa bergelap mujurlah di masjid berkenaan disediakan janakuasa elektrik. Dalam keadaan panik dan ketakutan, kami tidak henti-henti berdoa dan bersembahyang hajat.

“Walaupun ada sesetengah pelajar yang berlindung di tempat lain, kami sentiasa berhubung dan mengikuti perkembangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, semua ahli keluarga pelajar di Malaysia juga sudah dimaklumkan mengenai keadaan masing-masing dan meminta ahli keluarga dan rakan tidak bimbang kerana keadaan semua pelajar selamat.
“Semua pelajar sudah pun memaklumkan keluarga masing-masing mengenai keadaan di sini dan berharap semua pihak dapat mendoakan keselamatan kami,” katanya. Sementara itu, Setiausaha Pertama (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun berkata, walaupun keadaan kembali terkawal, pelajar akan sentiasa dipantau menerusi ‘Sistem Rumah 10’ selain terus mengaktifkan arahan Prosedur Standard Operasi (SOP).

“Sistem Rumah 10 iaitu seorang ketua yang dilantik daripada 10 pelajar dalam setiap rumah ditugaskan untuk memaklumkan mengenai keadaan semasa mereka kepada Yang Di Pertua PKPMI-CA sebelum dilaporkan kepada saya.
“Sistem berkenaan sudah dilaksanakan sejak 2010 iaitu ketika kejadian letusan gunung berapi di Gunung Merapi, Jogjakarta, Indonesia. Ia terbukti sangat berkesan untuk memantau keadaan pelajar dan akan terus dipraktikkan oleh pelajar Malaysia yang menuntut di kawasan berisiko bencana alam termasuk kejadian kelmarin,” katanya.

Beliau yang dihubungi semalam berkata, pelajar juga akan terus berhubung menerusi media sosial seperti facebook dan Twitter selama 24 jam setiap hari untuk dimaklumkan mengenai maklumat terkini selain mengarahkan pelajar untuk sentiasa mengambil tahu berita semasa.

0 comments:

Post a Comment