Apr 13, 2012

FAM tak panik

Datuk Azzuddin Ahmad
Datuk Azzuddin Ahmad
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak panik selepas ranking skuad kebangsaan berada di tahap terburuk pada tahun ini.
Malah kedudukan terbaru dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada bulan ini menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-156 di belakang Bangladesh (152) dan Samoa (155), namun ia dianggap bukan pengukur prestasi sebenar skuad Harimau Malaya.

“Ranking Fifa adalah suatu perkara yang sangat teknikal dari segi perkiraan. Ia juga tidak ketara (kedudukan) berbanding pada 2007 dengan Malaysia ketika itu melebihi ranking 170. Namun kami sudah membuat perancangan untuk mengadakan perlawanan berstatus ‘A’.

“Selain menentang Sri Lanka (hujung bulan ini), kami juga berusaha mendapatkan Iraq. Malah Filipina turut mahukan perlawanan timbal balik namun tarikh akhir masih belum diputuskan kerana kita meminta 1 Jun berbanding 8 Jun yang mereka mahukan sedangkan ketika itu skuad negara menentang Singapura,” kata Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad, semalam.

Azzuddin bagaimanapun mengesahkan perancangan FAM mengadakan aksi persahabatan dengan mana-mana negara yang didedahkan sebelum ini seperti New Zealand, Qatar dan sebagainya masih belum mendapat kata putus.

Pandangan yang sama turut dikongsi pengurus skuad negara, Datuk Seri Subahan Kamal yang melihat ranking Fifa adalah satu mekanisme untuk bandingkan kekuatan negara tapi sebaliknya yang berlaku.


“Sepanyol di nombor satu dunia, namun mereka tidak semestinya terbaik. Malah Indonesia, Thailand, Vietnam pernah tewas kepada Malaysia namun ranking mereka lebih tinggi berbanding kita.

“Walaupun ranking jatuh kami yakin mampu mempertahan Piala AFF. Bukan kita tidak mahu menentang pasukan hebat namun jadual liga kita padat dengan aksi menentang Sri Lanka juga kita tidak boleh menurunkan barisan terbaik,” katanya.

0 comments:

Post a Comment